Ahad, 16 September 2007

.:: Kehidupan Muslim Di Selatan Thailand ::.

Kehadiran Ramadhan tahun 2007 memberi peluang kepada umat Islam di seluruh dunia untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah puasa pada siangnya, solat sunat tarawikh serta berqiamullail pada sebelah malamnya. Bulan turunnya Al-Quran ini disambut dengan suasana meriah di seluruh Negara dan bulan ini digelar bulan pesta ibadah.

Namun bagi Penduduk Islam di selatan Thailand, kemeriahan menyambut kehadiran bulan pesta ibadah ini hambar kerana tidak ada bezanya dengan bulan-bulan yang lain. Pembunuhan kejam, pengeboman, pemotongan bekalan eletrik, penutupan 1000 buah sekolah, kejadian rogol dan berbagai-bagai lagi penindasan tetap dilakukan terhadap masyarakat Islam oleh pihak yang terbabit malahan waktu berkurung pada waktu malam juga menyulitkan umat islam untuk mengecapi kemanisan solat sunat tarawikh secara berjemaah. Sempena kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita mengingati saudara mara kita yang mengharungi kehidupan yang getir dibawah pemerintahan Kejam Thailand ini .

Setiap hari Pembunuhan demi pembunuhan dan pengeboman sentiasa berlaku di kebanyakan kampung sekitar Selatan Thailand khususnya di 3 buah daerah majoriti umat Islam iaitu Yala, Patani dan Narathiwat. Bulan rejab yang telah melabuhkan tirai telah menyaksikan darah umat Islam mengalir deras melimpahi bumi Thailand. Terbaru 2 penduduk Islam di sebuah kampung di Daerah Yala terbunuh dalam satu serangan pada awal pagi pada hari pengisytiharan 1 Ramadhan di Selatan Thailand dan kawasan sekitar.

Sama nasib malang dengan masyarakat Palestin, perbincangan dan diplomasi terus menerus dilaporkan di dada-dada akhbar tempatan mahupun luar negara tetapi satupun tidak memberi kesan kepada proses damai dan tidak menjanjikan keamanan untuk umat Islam di Selatan Thailand, kekejaman tentera Thailand tetap tidak berperi kemanusiaan.

Bezanya cuma masyarakat Palestin mendapat simpati dan bantuan dari umat Islam seluruh dunia dan setidak-tidaknya bangsa Arab mengiktiraf perjuangan di Palestin menentang pencerobohan Yahudi sebagai perjuangan bangsa Arab. Justeru bangsa Arab seluruhnya menghulurkan bantuan kebajikan kepada masyarakat Palestin. Walaupun mereka di bawah telunjuk Amerika Syarikat tetapi mereka tetap tidak tinggalkan Palestin bersendirian. Berlainan halnya dengan bangsa Melayu, perjuangan saudara-saudara mereka di tanah yang dijajah Siam ini tidak dianggap sebagai perjuangan bangsa dan agama oleh bangsa Melayu. Mereka Tidak menganggap masalah Melayu Thailand adalah masalah umat Melayu. Inilah kekecewaan yang dirasai di sudut hati masyarakat Melayu Selatan Thai kerana mereka tidak nampak sebarang bantuan dihulurkan dari masyakat melayu sekeliling.

Tambah menyedihkan lagi Isu Selatan Thailand ini tidak menjadi fokus utama dan agenda penting oleh mana-mana pertubuhan termasuk Asean dan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) hingga ke hari ini, malah campur tangan kerajaan Malaysia dalam menangani krisis di sana tidak membuahkan sebarang hasil setakat ini.

Sempena dengan kehadiran bulan Ramadhan yang mulia ini, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) menggesa Kerajaan Malaysia selaku ahli OIC dan ahli Asean memikirkan kaedah untuk menghantar bekalan makanan ke Yala dan bantuan-bantuan asasi lain. Pergolakan yang berlalu di sana menyebabkan penduduk Islam terkepung dan tidak dapat keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, justeru setakat ini Malaysia selaku negara jiran terdekat dengan kawasan konflik perlulah memikirkan kaedah untuk menyelesaikan masalah terputus bekalan makanan di sana.

Sehingga kini, angka kematian dilaporkan melebihi 2,500 dengan kebanyakan kematian membabitkan tiga wilayah Melayu yang dijajah oleh Thailand sejak kebangkitan masyarakat Melayu tercetus pada Januari 2004.

Sempena dengan kehadiran Ramadhan ini juga, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) menyeru semua umat Islam menghayati tangisan penderitaan dan jeritan meminta tolong dari saudara seaqidah di Selatan Thailand. Di dalam al-Quran, Allah mengarahkan manusia supaya membantu orang-orang miskin, mereka yang dihalau dari rumah, mereka yang ditindas dan juga mereka yang memerlukan dan ia menjadi satu tugas bagi setiap umat Islam khususnya di Malaysia untuk memberikan bantuan kepada mereka yang dizalimi, dianinyaya dan melarikan diri kerana dihalau dari negeri yang dijajah ini. Contoh-contoh pertolongan ini telah diberitahu di dalam al-Quran: 59:8-9

8. (juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (karena) mencari karunia dari Allah dan keridhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan RasulNya. mereka Itulah orang-orang yang benar.
9. Dan orang-orang yang Telah menempati kota Madinah dan Telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka Itulah orang orang yang beruntung.

Akhirnya, sekali lagi, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) ingin melahirkan rasa sangat prihatin dan simpati terhadap nasib umat Islam negeri yang dijajahi Siam ini dan GAMIS Menyeru rakyat Malaysia khususnya golongan mahasiswa untuk lebih prihatin dan sensitif kepada isu yang berlaku saban hari ke atas umat Islam Selatan Thailand.

Sabtu, 30 Jun 2007

Kehidupan Dalam Iman

Orang-orang yang sesungguhnya paling sengsara ialah mereka yang miskin iman dan mengalami krisis keyakinan dan mereka akan selamanya akan berada dalam kesengsaraan, kesedihan, kemurkaan, dan kehinaan.

" Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu maka sesungguhnya baginya adlh hidup yang sempit."

Tidak ada sesuatu yg dapat membahagiakan jiwanya melainkan keimanan yang benar kpd Allah SWT, Tuhan alam semesta. Pendek kata hidup akan hambar tanpa iman. Menurut pelbagai golongan pembangkang Allah yg sama sekali tidak beriman, cara terbaik utk menenangkan jiwa adlh dengan membunuh diri. Menurut mereka, dgn bunuh diri org akan dijauhkan dari segala tekanan, kegelapan dan bencana dalam hidupnya. Alangkah malangnya hidup yang miskin iman. Dan betapa pedihnya seksa dan azab yang akan dirasakan oleh orang-orang yang melencong dari bimbingan Allah di akhirat nanti.


" Dan Kami palingkan hati mereka dan pandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak mahu beriman kpd ayat-ayat Kami ketika datang kpd mereka pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka teraba-raba di dlm kesesatannya dengan bingung."


Kini sudah tiba masanya dunia menerima dgn tulus ikhlas dan beriman dgn sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah. Bagaimanapun, pengalaman dan ujian sepanjang sejarah hidup di dunia ini dari abad berabad sudah membuktikan banyak hal, menyedarkan akal bahawa berhala-berhala itu tahyul belaka, kekafiran itu punca malapetaka, pembangkangan itu dusta, para rasul itu benar adanya dan Allah betul-betul Penguasa di muka bumi dan langit.

Seberapa besar iman anda maka setakat itulah pula kebahagiaan, ketenteraman, kedamaian, dan ketenangan jiwa anda. Tujuan hidup yg baik (hayatun thayyibah) ialah ketenangan jiwa mereka disebabkan janji baik Tuhan mereka, keteguhan hati mereka dlm mencintai Zat yg menjadikan mereka, kesucian nurani mereka dari unsur-unsur penyimpangan iman, ketenangan mereka dalam menghadapi setiap kenyataan hidup, kerelaan hati mereka dlm menerima dan mengharungi ketentuan Ilahi, dan keikhlasan mereka dlm menerima takdir. Dan itu semua adlh kerana mereka betul-betul yakin dan ikhlas menerima bahawa Allah sebagai Tuhan mereka, Islam sebagai cara hidup mereka dan Muhammad itu pesuruh Allah SWT.

Khamis, 7 Jun 2007

Kebaikan Ibarat Bekalan Kesenangan di Akhirat

FIRMAN Allah bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan berwasiat dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran." (Surah al-Asr, ayat 1-5).

Ulama menafsirkan ayat di atas memberi banyak pengertian untuk dirungkai dan dihayati bersama dalam melayari bahtera kehidupan yang serba mencabar ini.

Islam sentiasa memberi galakan agar seluruh umatnya memanfaatkan kehidupan di dunia dengan amal soleh, di samping iman teguh sebagai bekalan untuk menempuh alam akhirat. Islam memberi jaminan kepada umatnya bahawa kebahagiaan hidup di dunia dan mengecapi kebahagiaan di akhirat akan diperoleh sekiranya umat Islam membuat kebaikan.

Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka akan pahala mereka dengan balasan yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 97)

Kebaikan yang dilakukan akan mendapat ganjaran tertinggi di sisi Allah dan mendapat penghargaan daripada manusia dan makhluk seluruhnya. Ajaran Islam yang terkandung pelbagai hikmah dan pengajaran sentiasa memberi galakan dan dorongan kepada umat Islam untuk berbuat kebaikan. Hal ini kerana kebaikan yang dilakukan adalah faedah bukan saja untuk dirinya, malah semua orang dan masyarakat.

Firman Allah bermaksud: “Jika kamu berbuat kebaikan (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu, dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” (Surah al-Isra', ayat 7).

Manusia yang dilingkari kebaikan, hidupnya akan beroleh kerahmatan dan keberkatan. Mereka juga akan mendapat kebahagiaan dalam setiap perjalanan kehidupan duniawi dan ukhrawi. Justeru, galakan meningkatkan amalan soleh bukan hanya sebagai perintah yang perlu dipatuhi, malah jalan untuk manusia mengangkat martabat di sisi Allah.
Galakan berbuat kebaikan adalah pengajaran berguna bagi umat Islam dan ganjaran besar menantinya di akhirat. Firman Allah bermaksud : "Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya, Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana kamu berada, maka bagi Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Maidah, ayat 48)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Daripada Ibn Abbas daripada Rasulullah menurut apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya, katanya : Sesungguhnya Allah telah menetapkan segala kebaikan dan segala kejahatan. Kemudian Dia terangkan yang demikian itu, maka sesiapa yang bercita-cita dengan kebaikan, kemudian dia tidak mengerjakannya Allah tuliskan di sisinya satu kebaikan yang sempurna. Dan jika dia bercita-cita dengannya (kebaikan itu), kemudian dia mengerjakannya, Allah tuliskan kebaikan itu (sebagai balasan) di sisinya sebanyak 10 kebaikan hingga 700 kali ganda hingga sampai beberapa kali ganda banyaknya. Dan jika dia bercita-cita dengan satu kejahatan kemudian tidak mengerjakannya Allah tuliskan di sisinya satu kebaikan yang sempurna. Dan jika dia bercita-cita dengannya, lalu mengerjakannya, Allah tuliskan kejahatan itu dengan balasan satu kejahatan saja.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis itu menggambarkan betapa Maha Pemurah-Nya Allah terhadap hamba-Nya yang melakukan kebaikan sekalipun dengan hanya bercita-cita atau sekadar niat melakukan kebaikan itu. Namun, ganjaran tetap diberikan. Rahmat Allah terhadap hamba-Nya di dunia amat luas.

Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis lain bermaksud: "Daripada Ibn Umar, katanya: Rasulullah memegang bahuku, lalu Baginda bersabda: Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau adalah orang yang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara). Ibn Umar berkata: Jika engkau berada pada waktu petang, maka janganlah engkau menunggu waktu pagi, dan apabila engkau berada pada waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu waktu petang. Dan gunakanlah masa sihat engkau untuk masa sakit dan masa hidup untuk masa mati engkau." (Hadis riwayat Bukhari).

Keinginan mengecapi kebahagiaan hidup yang lebih sejahtera di dunia dan kehidupan abadi di akhirat adalah keinginan yang perlu kepada pengisian kehidupan berlandaskan kepada syariat Islam. Hakikat menunjukkan bahawa dunia ini tempat untuk beramal bagi sekian waktu yang ditetapkan bagi seseorang. Ia bukanlah tempat untuk bersenang lenang semata-mata tanpa menghiraukan hari perhitungan kelak.

Kehidupan di dunia diibaratkan sebagai seorang yang berdagang. Sebagai seorang pedagang, tentulah merindui kampung halaman. Kerinduan itu, tiada ertinya sekiranya sekembalinya ke kampung halaman tiada apa-apa bekalan yang dibawanya. Waktu di dunia sungguh singkat dan perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk beramal dan melakukan pekerjaan berguna. Ia untuk faedah hidup di dunia dan kesenangan pada hari akhirat.

Imam Al-Ghazali dalam tulisannya ada menyatakan: "Sesungguhnya badan anak Adam diibaratkan seperti jala untuk mengusahakan amal-amal yang baik, apabila dia berjaya dalam tugasnya di dunia ini kemudian mati, maka sudah mencukupi bagi dirinya, tidak memerlukan kepada jala itu lagi, iaitu badan yang dipisahkan oleh kematian. Kematian akan melenyapkan keinginan kepada dunia, apa yang diinginkan adalah amal salih untuk menjadi bekalan kuburnya. Jika bekalan itu berada di sampingnya, terasalah kekayaannya. Sebaliknya, jika ia tidak mempunyainya, malang baginya dan dia akan minta untuk kembali ke dunia untuk mendapatkan balik bekalannya."

Penciptaan manusia menerusi proses perjanjian dengan Allah untuk memikul tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah. Tanggungjawab itu perlu dilaksanakan dengan sebaiknya kerana ia adalah amanah paling besar diberi kepada makhluk yang bernama manusia.

Keadaan orang yang berbakti iaitu mereka yang beriman dengan hati dan beramal soleh dengan jasad adalah makhluk terbaik. Mereka melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Kedudukan mereka yang bertakwa di sisi Allah di akhirat nanti akan ditempatkan di kalangan nabi, siddiqin, syuhada' dan solihin. Hal ini seperti firman-Nya bermaksud: "Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi dan orang yang siddiqin (amat benar dalam imannya) dan orang yang syahid serta orang yang soleh. Dan amat eloklah mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat)." (Surah an-Nisa', ayat 69).


Dipetik dari

HALUAN Malaysia